'JANGAN BIARKAN DIRI ANDA TIDAK MENGENALI NABI MUHAMMAD SAW' http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=yvnmDUji-vQ

Wednesday, July 10, 2013

RAMADHAN MENJELMA LAGI 2013


Puasa merupakan salah satu di antara lima rukun Islam yang harus dihayati dan dilaksanakan oleh setiap orang Muslim yang mengaku Islam. Berpuasa di bulan Ramadhan bukanlah amalan turun temurun nenek moyang kita. Sebaliknya ia merupakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada semua umat Islam di dunia ini. Ini dapat dibuktikan dengan sejarah amalan berpuasa Rasulullah SAW di setiap bulan Ramadhan. Puasa dijadikan sebagai anak kunci yang mampu membuka pintu syurga untuk mereka yang mengamalkan puasa dengan penuh penghayatan dan bukan dengan mengikut secara buta tuli tanpa ada penghayatan dalam pembangunan keimanan sendiri.
Ramai masyarakat Islam yang menjadikan alasan berpuasa di bulan Ramadhan ini akan menyebabkan mereka letih, pasif, cepat mengantuk, kurang sihat serta tidak bermaya untuk melakukan sesuatu tugasan dan pelbagai lagi. Namun apabila tiba waktu untuk berbuka puasa, ramai yang sanggup meghabiskan puluhan ringgit di bazar ramadhan hanya semata-mata mengejar kepuasan nafsu untuk makan. Setelah kenyang makan dan minum, perut mula menjadi terlalu berat sehingga  merangsangkan otak untuk mengantuk dan malas untuk mengerjakan solat terawih di samping solat fardhu. Adakah ini yang dianjurkan oleh Islam untuk berbuka puasa? Jawapannya tidak. Oleh itu, marilah kita menghayati konsep berbuka puasa sebenar di dalam Islam agar kita tidak terpesong dengan tuntutan sebenar Allah SWT melalui puasa ini

i.segera berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar.
ii.berbuka puasa dengan buah tamar atau air ataupun yang sejenis dengannya
iii.segera solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air namun sekiranya makanan telah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

iv.makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka
v.berdoa ketika berbuka
vi.menjamu makanan berbuka puasa  untuk orang lain berpuasa (selain daripada keluarga)


Sehubungan dengan itu, sempena bulan yang penuh keberkatan ini marilah kita memperkasakan puasa agar puasa pada tahun ini lebih baik momentumnya berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sesungguhnya sesiapa yang mengerjakan ibadat puasa ini, dia akan memperolehi pahala yang sangat lebih. Marilah kita berlumba-lumba memperbanyakkan bersedekah, membaca al-quran dan beri’tikaf di masjid terutama pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan ramadhan dengan harapan kita akan dipilih oleh Allah menjadi di kalangan Muslim yang bertemu dengan Malam Lailatul Qadr. Jangan jadikan sepuluh malam terakhir Ramadhan itu malam yang penuh dengan kesibukan membuat kuih, membuat tempahan bajuraya, memhias rumah dan pelbagai lagi sehingga alpa tentang Lailatul Qadr.