'JANGAN BIARKAN DIRI ANDA TIDAK MENGENALI NABI MUHAMMAD SAW' http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=yvnmDUji-vQ

Tuesday, March 9, 2010

Zakat dan Sedekah: Yang Mana Perlu di Utamakan

Pernahkah kita terfikir tentang kewajipan berzakat. Setiap Muslim yang mempunyai gelaran Islam sedar akan kewajipan bersedekah. Namun sejauhmana kita mampu zahirkan dalam bentuk tindakan? Pelbagai alasan diberikan oleh mereka yang dahagakan ilmu zakat ini. Ada yang memberikan alasan hutang yang banyak perlu diselesaikan sebelum bayar zakat, ada yang menyatakan zakat tertentu tidak perlu bayar disebabkan pada zaman Rasulullah tidak wujud, ada yang memberi alasan sibuk sebagai alasan ditangguhkan bayaran, ada yang memberikan alasan mereka tidak percaya kepada institusi zakat di negeri mereka, ada yang memberikan alasan tanggungan yang besar menghalangnya membayar zakat, ada yang memberikan alasan perniagaanya hanya untung kecil maka tidak perlu bayar zakat, ada yang memberikan alasan sahamnya hanya untung sedikit maka tidak perlu bayar zakat, ada yang menyatakan duit kwspnya hanya kecil jumlahnya maka tidak perlu bayar zakat? Sebanarnya terdapat 1001 alasan yang dilontarkan oleh mereka yang bergelar Muslim tetapi masih pudar tentang kewajipan zakat.

Adakah kita sedar bahawa kita banyak melakukan sedekah berbanding zakat? Walaupun mereka tidak membayar zakat, tetapi acapkali pergi ke masjid mereka akan sedekahkan wang ke tabung masjid, acapkali mereka pergi surau maka mereka akan sedekahkan wang walaupun tidak membayar zakat, pada hari-hari tertentu mereka ini akan membuat kenduri kesyukuran, ada juga yang bermurah hati sedekahkan wang, baju, buku agama kepada institusi keagamaan walaupun tidak membayar zakat, ada juga mereka yang belanja kawan-kawan makan minum walaupun tidak membayar zakat, walaupun tidak membayar zakat mereka sanggup sedekahkan wang kepada peminta sedekah dijalanan dan pelbagai lagi tindakan lain yang bersifat sedekah dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Rentetan itu, alangkah baiknya jika intisari zakat itu dihayati sebaik mungkin kerana dalam Islam, zakat dianggap mekanisma terbaik menjalinkan hubungan sesama Islam, meninggikan martabat ekonomi Islam dan menghapuskan kadar jenayah khususnya Ah Long. Sehubungan dengan itu Islam telah menzahirkan lapan golongan yang layak dibantu oleh kereka yang berkeupayaan dari sudut kewangan melalui sistem zakat. Oleh itu kepada mereka yang tidak atau kurang membayar zakat mari kita terjah lapan golongan ini melalui penggantian sedekah yang banyak kita praktikan sebelum ini kepada bayaran zakat.

Maksudnya disini, pendekatan yang dipraktikkan oleh kita adalah sama seperti sebelum ini iaitu pergi ke masjid dan surau tetapi wang yang kita berikan kepada tabung masjid dan surau akan ditukar niatnya daripada sedekah kepada zakat, wang sedekah kepada peminta sedekah jalanan kita tukarkan kepada pemberian zakat kita kepada mereka, wang yang kita belanja kawan-kawan yang miskin kita tukarkan kepada sedekah, wang yang kita belanjakan untuk kenduri kesyukuran kita tukarkan kepada wang zakat untuk kenduri, dan pelbagi lagi bentuk sedekah yang kita lakukan sebelum ini, mampu diterjemahkan dalam bentuk zakat sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga.

Secara ukhuwahnya ingin dijelaskan disini bahawa jika kita banyak melakukan bayaran zakat dari pelbagai sudut kehidupan kita, maka wang yang dibelanjakan untuk zakat tadi akan bertukar secara automatik kepada sedekah jika jumlah bayaran zakat yang kita belanjakan telah terlaksana, namun jika kita belanjakan sedekah dari pelbagai lapangan hidup kita maka ia tidak automatik bertukar menjadi sedekah kerana sedekah tidak mempunyai pengiran khusus untuknya tetapi zakat mempunyai kadar nisabnya tersendiri iaitu 2.5 peratus jika cukup tempoh masa bagi sesuatu harta (harta yang berkembang ataupun al-mal mustafad). Sesungguhnya penggantian sedekah kepada zakat bukan bertujuan untuk mengelak masyarakat daripada membayar zakat kepada institusi-institusi zakat tetapi konsep "zakat didahulukan, sedekah diutamakan" perlu difahami dengan lebih kreatif agar masyarakat awam Islam tidak dibebani 'hutang zakat' kepada Pencipta Yang Esa berbanding sedekah jariah.

Akhir kalam, kita sebagai seorang insan yang bertuah kerana memiliki Islam sebagai panduan hidup harus ingat, intisari zakat dalam Islam amat jelas iaitu membantu asnaf lapan iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang kerana agama, orang yang bermusafir dan orang yang berjihad keluar daripada kepompong kesulitan yang dirempuhi oleh mereka. Jesteru adalah cemerlang seseorang Muslim itu jika wang zakat ini dapat diagihkan kepada lapan asnaf ini ataupun kepada institusi zakat kerana pengagihan zakat lebih cekap dan adil kepada setiap golongan dapat dilakukan secara strategik. Namu disini penulis menyarankan agar biarlah wang zakat itu dibayar kepada institusi zakat itu sendiri, tetapi dalam kes-kes tertentu seperti orang yang datang minta sedekah di rumah dan jalanan, orang yang minta sedekah melalui surat menyurat dan sebagainya lagi maka disarankan agar kita niatkan zakat jika kita rasa zakat kita masih belum sempurna. Sesungguhnya Tuhan Yang Esa Maha Mengetahui.


Alangkah baiknya jika kita beramai2 menghidupkan sistem zakat di Malaysia demi membantu kerajaan menghapuskan kemiskinan di negara tercinta kini seterusnya melahirkan masyarakat Madani yang hebat seperti zaman-zaman kegemilangan Islam sebelum ini. Adalah menjadi harapan penulis, nukilan yang mungkin tidak seberapa ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan agama bangsa dan negara kita tercinta.

wassalam.

No comments:

Post a Comment