'JANGAN BIARKAN DIRI ANDA TIDAK MENGENALI NABI MUHAMMAD SAW' http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=yvnmDUji-vQ

Monday, March 8, 2010

Buku : Zakat dan Pelaksanaanya di Malaysia

Syukur saya kepada Allah S.W.T. Tuhan Yang Esa di atas limpah dan perkenan-Nya dapat saya menyiapkan sebuah buku yang berjudul Zakat dan Pelaksanaanya di Malaysia. Selawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad S.A.W yang telah meninggalkan sunnahnya sebagai panduan hidupku.

Pelbagai isu dan fakta-fakta telah saya cungkilkan dalam buku ini untuk tatapan para pembaca budiman kerana zakat ini merupakan ibadah dan satu kewajipan kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Adalah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang mempunyai pendapatan kukuh terhadap mereka yang miskin bagi memastikan keadilan dan kestabilan sosial terjamin. Perkembangan Malaysia sebagai pusat kewangan dan perbankan Islam di dunia telah memacu permintaan yang tinggi bagi instrumen-instrumen Islam. Kesan limpahan ini juga wujud kepada system zakat di Malaysia. Walaupun perbankan Islam telah mengalami evolusi yang dahsyat sejak diperkenalkan di Malaysia bermula 1983 iaitu 26 tahun lepas, namun kedudukan sistem zakat masih belum seiring dengan perbankan Islam. Sesuatu harus di lakukan demi mempertingkatkan kesedaran membayar zakat.

Atas dasar kesedaran ini, maka saya berusaha untuk menyiapkan buku ini sebagai satu wacana untuk menimbulkan kesedaran membayar zakat dan keinsafan bagi mereka yang tidak menunaikan zakat. Sungguhpun demikian pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dilalui sebelum berjaya menyiapkan buku ini. Sejuta penghargaan saya hulurkan kepada Yg Berbhg Prof Dr Joni Tamkin daripada Universiti Malaya di atas dorongan dan tunjuk ajar yang tidak ternilai bagi menyiapkan buku ini. Sesungguhnya buku ini amat sesuai dijadikan panduan, rujukan serta sumber pengetahuan bagi para pelajar, kakitangan awam, kakitangan swasta, ahli akademik, para pendidik dan sebagainya.

Akhir kalam adalah menjadi impian dan harapan saya sumbangan kecil saya ini akan memberi impak kepada masyarakat Islam tentang kewajipan berzakat dan implikasinya. Sebagai seorang yang masih baru di dunia penulisan buku ilmiah ini maka sudah pasti kekurangan dan kelemahan wujud di dalam penulisan saya ini. Sungguhpun demikian apabila siapnya buku ini maka sedikit sebanyak dapatlah saya memberi sumbangan kepada sistem ekonomi Islam di Malaysia ini dengan menyebarkan ilmu berkaitan zakat seluas mungkin.

No comments:

Post a Comment