'JANGAN BIARKAN DIRI ANDA TIDAK MENGENALI NABI MUHAMMAD SAW' http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=yvnmDUji-vQ

Wednesday, March 24, 2010

Prof Dato' Dr. Sudin Haron Tokoh Akademik Terbilang

Alhamdulillah...Akhirnya aku berjaya.
Baru-baru ini Yg Bbhg Prof Dato' Sudin Haron iaitu 'orang kuat' ASIAN INSTITUTE OF FINANCE (AIF) telah datang ke Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan, UMS bagi memberi taklimat mengenai misi, visi dan juga objektif penubuhan AIF ini. Ternyata taklimat tersebut amat berguna dan banyak manafaatnya sehingga memukau para pensyarah yang hadir. Dianggarkan 50 orang pensyarah telah hadir bagi mendengar taklimat tersebut.

Kedatangan Prof Dato' Dr Sudin bersama Dr Marzuki Jusoh yang juga Director Project Management AIF telah membuka minda dan minat yang mendalam di kalangan pensyarah yang hadir agar melakukan penyelidikan yang berkualiti dan mampu menaikkan nama Malaysia melalui kerjasama bersama AIF.


Sebenarnya AIF merupakan sebuah institut yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (80% ) dan Suruhanjya Sekuriti (20%). AIF ini bertanggungjawab menaikkan sistem kewangan di Malaysia melalui proses penyelidikan, penerbitan, latihan dan pelbagai lagi mekanisma yangdigunakan bagi menjayakan misi dan visi AIF itu sendiri. Penubuhan AIF ini amat tepat pada masanya kerana dibawah AIF terdapat empat lagi institut yang saling melengkapi antara satu sama lain dalam sistem kewangan di Malaysia iaitu ;
i. institute Bank-bank Malaysia (IBBM)
ii. Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM)
iii. Securities Industries Development Corporation (SIDC)
iv. The Malaysian Insurance Institute (MII)

Pada akhir taklimat tersebut Yg Berbhg Dato' menggalakan para pensyarah agar membuat penyelidikan dalam bentuk grant ataupun PHD dalam bidang-bidang yang penting yang telahpun dikenalpasti oleh AIF. Ini kerana ahli akademik serta industry player saling memerlukan antara satu sama lain di dalam merencanakan sistem kewangan di Malaysia.

Akhir kalam, aku bersyukur kerana aku merupakan salah seorang hamba ALLAH yang dipilih olehnya dari kalangan beribu-ribu orang lain untukl berada di majlis ilmu bersama Dato' Sudin Haron..Sudah hampir 6 tahun aku tidak bersemuka dengan Dato'. Kebiasaanya jika ada urusan tertentu aku hanya sms atau menelefon Dato', namun akhinya pada 23 Mac 2010 jam 3pm kami bertemu semula . Sesungguhnya Ybhg Dato' Dr Sudin Haron merupakan salah seorang tokoh akademik yang tiada tolok bandingnya dalam kewangan Islam di dunia.

Sunday, March 21, 2010

International Islamic Finance Conference 2010, Grand Dorsett Hotel, Labuan, Malaysia



Pada tanggal 18-20 Mac 2010 bertempat di Hotel Grand Dorsett Labuan, telah berlansung dengan meriahnya satu seminar antarabangsa berkaitan dengan Kewangan Islam. Seminar tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Malaysia.
Beberapa tokoh terkemuka Kewangan Islam turut hadir memeriahkan seminar tersebut antaranya Prof Dr. Abbas Mirakhor dan Prof Dato' Dr. Syed Uthman Alhabshi, Prof Dr. Abdul Ghafar Ismail dan beberapa tokoh lain lagi. Seminar tersebut berjaya menjadi wadah perbincangan dikalangan ahli akademik dan ahli industri sama ada tempatan dan juga luar negara. Antara bidang yang menjadi tajuk diskusi ialah ekonomi Islam, perbankan Islam dan kewangan Islam.
Seminar tersebut juga telah menjadi medan pendedahan kepada bakal graduan Kewangan Islam dari universiti tempatan yang turut hadir bagi mencambah pengetahuan mereka. Ternyata komitmen yang diberikan oleh bakal-bakal graduan semasa sesi perbentangan begitu menabjubkan sehingga para pembentang begitu teruja dengan soalan-soalan yang diajukan oleh mereka. Bersambung.....................







Tuesday, March 9, 2010

Lawatan ke Brunei Darussalam

Masjid di Brunei, Tongkat Sultan Brunei.


Zakat dan Sedekah: Yang Mana Perlu di Utamakan

Pernahkah kita terfikir tentang kewajipan berzakat. Setiap Muslim yang mempunyai gelaran Islam sedar akan kewajipan bersedekah. Namun sejauhmana kita mampu zahirkan dalam bentuk tindakan? Pelbagai alasan diberikan oleh mereka yang dahagakan ilmu zakat ini. Ada yang memberikan alasan hutang yang banyak perlu diselesaikan sebelum bayar zakat, ada yang menyatakan zakat tertentu tidak perlu bayar disebabkan pada zaman Rasulullah tidak wujud, ada yang memberi alasan sibuk sebagai alasan ditangguhkan bayaran, ada yang memberikan alasan mereka tidak percaya kepada institusi zakat di negeri mereka, ada yang memberikan alasan tanggungan yang besar menghalangnya membayar zakat, ada yang memberikan alasan perniagaanya hanya untung kecil maka tidak perlu bayar zakat, ada yang memberikan alasan sahamnya hanya untung sedikit maka tidak perlu bayar zakat, ada yang menyatakan duit kwspnya hanya kecil jumlahnya maka tidak perlu bayar zakat? Sebanarnya terdapat 1001 alasan yang dilontarkan oleh mereka yang bergelar Muslim tetapi masih pudar tentang kewajipan zakat.

Adakah kita sedar bahawa kita banyak melakukan sedekah berbanding zakat? Walaupun mereka tidak membayar zakat, tetapi acapkali pergi ke masjid mereka akan sedekahkan wang ke tabung masjid, acapkali mereka pergi surau maka mereka akan sedekahkan wang walaupun tidak membayar zakat, pada hari-hari tertentu mereka ini akan membuat kenduri kesyukuran, ada juga yang bermurah hati sedekahkan wang, baju, buku agama kepada institusi keagamaan walaupun tidak membayar zakat, ada juga mereka yang belanja kawan-kawan makan minum walaupun tidak membayar zakat, walaupun tidak membayar zakat mereka sanggup sedekahkan wang kepada peminta sedekah dijalanan dan pelbagai lagi tindakan lain yang bersifat sedekah dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Rentetan itu, alangkah baiknya jika intisari zakat itu dihayati sebaik mungkin kerana dalam Islam, zakat dianggap mekanisma terbaik menjalinkan hubungan sesama Islam, meninggikan martabat ekonomi Islam dan menghapuskan kadar jenayah khususnya Ah Long. Sehubungan dengan itu Islam telah menzahirkan lapan golongan yang layak dibantu oleh kereka yang berkeupayaan dari sudut kewangan melalui sistem zakat. Oleh itu kepada mereka yang tidak atau kurang membayar zakat mari kita terjah lapan golongan ini melalui penggantian sedekah yang banyak kita praktikan sebelum ini kepada bayaran zakat.

Maksudnya disini, pendekatan yang dipraktikkan oleh kita adalah sama seperti sebelum ini iaitu pergi ke masjid dan surau tetapi wang yang kita berikan kepada tabung masjid dan surau akan ditukar niatnya daripada sedekah kepada zakat, wang sedekah kepada peminta sedekah jalanan kita tukarkan kepada pemberian zakat kita kepada mereka, wang yang kita belanja kawan-kawan yang miskin kita tukarkan kepada sedekah, wang yang kita belanjakan untuk kenduri kesyukuran kita tukarkan kepada wang zakat untuk kenduri, dan pelbagi lagi bentuk sedekah yang kita lakukan sebelum ini, mampu diterjemahkan dalam bentuk zakat sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga.

Secara ukhuwahnya ingin dijelaskan disini bahawa jika kita banyak melakukan bayaran zakat dari pelbagai sudut kehidupan kita, maka wang yang dibelanjakan untuk zakat tadi akan bertukar secara automatik kepada sedekah jika jumlah bayaran zakat yang kita belanjakan telah terlaksana, namun jika kita belanjakan sedekah dari pelbagai lapangan hidup kita maka ia tidak automatik bertukar menjadi sedekah kerana sedekah tidak mempunyai pengiran khusus untuknya tetapi zakat mempunyai kadar nisabnya tersendiri iaitu 2.5 peratus jika cukup tempoh masa bagi sesuatu harta (harta yang berkembang ataupun al-mal mustafad). Sesungguhnya penggantian sedekah kepada zakat bukan bertujuan untuk mengelak masyarakat daripada membayar zakat kepada institusi-institusi zakat tetapi konsep "zakat didahulukan, sedekah diutamakan" perlu difahami dengan lebih kreatif agar masyarakat awam Islam tidak dibebani 'hutang zakat' kepada Pencipta Yang Esa berbanding sedekah jariah.

Akhir kalam, kita sebagai seorang insan yang bertuah kerana memiliki Islam sebagai panduan hidup harus ingat, intisari zakat dalam Islam amat jelas iaitu membantu asnaf lapan iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang kerana agama, orang yang bermusafir dan orang yang berjihad keluar daripada kepompong kesulitan yang dirempuhi oleh mereka. Jesteru adalah cemerlang seseorang Muslim itu jika wang zakat ini dapat diagihkan kepada lapan asnaf ini ataupun kepada institusi zakat kerana pengagihan zakat lebih cekap dan adil kepada setiap golongan dapat dilakukan secara strategik. Namu disini penulis menyarankan agar biarlah wang zakat itu dibayar kepada institusi zakat itu sendiri, tetapi dalam kes-kes tertentu seperti orang yang datang minta sedekah di rumah dan jalanan, orang yang minta sedekah melalui surat menyurat dan sebagainya lagi maka disarankan agar kita niatkan zakat jika kita rasa zakat kita masih belum sempurna. Sesungguhnya Tuhan Yang Esa Maha Mengetahui.


Alangkah baiknya jika kita beramai2 menghidupkan sistem zakat di Malaysia demi membantu kerajaan menghapuskan kemiskinan di negara tercinta kini seterusnya melahirkan masyarakat Madani yang hebat seperti zaman-zaman kegemilangan Islam sebelum ini. Adalah menjadi harapan penulis, nukilan yang mungkin tidak seberapa ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pembangunan agama bangsa dan negara kita tercinta.

wassalam.

Monday, March 8, 2010

Buku : Zakat dan Pelaksanaanya di Malaysia

Syukur saya kepada Allah S.W.T. Tuhan Yang Esa di atas limpah dan perkenan-Nya dapat saya menyiapkan sebuah buku yang berjudul Zakat dan Pelaksanaanya di Malaysia. Selawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad S.A.W yang telah meninggalkan sunnahnya sebagai panduan hidupku.

Pelbagai isu dan fakta-fakta telah saya cungkilkan dalam buku ini untuk tatapan para pembaca budiman kerana zakat ini merupakan ibadah dan satu kewajipan kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Adalah menjadi tanggungjawab bagi mereka yang mempunyai pendapatan kukuh terhadap mereka yang miskin bagi memastikan keadilan dan kestabilan sosial terjamin. Perkembangan Malaysia sebagai pusat kewangan dan perbankan Islam di dunia telah memacu permintaan yang tinggi bagi instrumen-instrumen Islam. Kesan limpahan ini juga wujud kepada system zakat di Malaysia. Walaupun perbankan Islam telah mengalami evolusi yang dahsyat sejak diperkenalkan di Malaysia bermula 1983 iaitu 26 tahun lepas, namun kedudukan sistem zakat masih belum seiring dengan perbankan Islam. Sesuatu harus di lakukan demi mempertingkatkan kesedaran membayar zakat.

Atas dasar kesedaran ini, maka saya berusaha untuk menyiapkan buku ini sebagai satu wacana untuk menimbulkan kesedaran membayar zakat dan keinsafan bagi mereka yang tidak menunaikan zakat. Sungguhpun demikian pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dilalui sebelum berjaya menyiapkan buku ini. Sejuta penghargaan saya hulurkan kepada Yg Berbhg Prof Dr Joni Tamkin daripada Universiti Malaya di atas dorongan dan tunjuk ajar yang tidak ternilai bagi menyiapkan buku ini. Sesungguhnya buku ini amat sesuai dijadikan panduan, rujukan serta sumber pengetahuan bagi para pelajar, kakitangan awam, kakitangan swasta, ahli akademik, para pendidik dan sebagainya.

Akhir kalam adalah menjadi impian dan harapan saya sumbangan kecil saya ini akan memberi impak kepada masyarakat Islam tentang kewajipan berzakat dan implikasinya. Sebagai seorang yang masih baru di dunia penulisan buku ilmiah ini maka sudah pasti kekurangan dan kelemahan wujud di dalam penulisan saya ini. Sungguhpun demikian apabila siapnya buku ini maka sedikit sebanyak dapatlah saya memberi sumbangan kepada sistem ekonomi Islam di Malaysia ini dengan menyebarkan ilmu berkaitan zakat seluas mungkin.