'JANGAN BIARKAN DIRI ANDA TIDAK MENGENALI NABI MUHAMMAD SAW' http://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=yvnmDUji-vQ

Thursday, November 7, 2013

Kemiskinan Bandar


Kemiskinan sering dikaitkan dengan kehidupan di kampung. Ini disebabkan kerana sosio ekonomi di kampung yang agak jauh ketinggalan berbanding bandar. Kebanyakan masyarakat kampung bekerja sebagai petani, penoreh getah, nelayan, pemandu lori dan ada yang bekerja sendiri. Sudah pasti pendapatan mereka adalah tidak seberapa jika dibandingkan dengan masyarakat bandar. Ini kerana pendapatan masyarakat kampung amat bergantung kepada cuaca.Sebab itu kedapatan kebanyakan gambar dan isu-isu yang dipaparkan di akhbar dan tv kebanyakkanya adalah berkisar di kampung.

Namun tanpa disedari kemiskinan kini mula menular ke bandar-bandar. Kos sara hidup yang semakin tinggi telah mewujudkan kelompok masayarakat bandar yang miskin. Kehidupan di bandar-bandar memerlukan perbelanjaan yang tinggi kerana semuanya tidak percuma dan perlukan bayaran. Bermula sewa rumah, bayaran tol, bayaran kereta, bayaran bil air dan elektrik, bayaran yuran sekolah, bayaran yuran kelas tambahan, bayaran insurans, perbelanjaan sekolah anak-anak, perbelanjaan makan harian keluarga dan perbelanjaan-perbelanjaan lain telah mewujudkan sekelompok masyarakat yang memerlukan perhatian kerana mereka mungkin dikategorikan sebagai miskin bandar.

Sebagai contoh A yang bekerja di sektor swasta berpendapatan RM4000 sebulan, mempunyai isteri yang tidak bekerja, ibubapa di kampung, sebuah kereta proton saga, anak seramai 6 orang di mana 3 daripadanya sudah bersekolah serta menyewa rumah di apartment Kerinci.

Berikut merupakan perbelanjaan beliau:
Sewa apartment                             RM 1000
Bayaran kereta                              RM500
Ibubapa                                         RM200
Tol                                                 RM100
Yuran Sekolah Anak (3 orang)     RM900
Bil Api Air                                    RM100
Perbelanjaan Keluarga                 RM1500
Lain-lain                                       RM500
JUMLAH                                     RM4700

Ternyata dengan pendapatan sebanyak RM4000 sebulan adalah tidak mencukupi untuk membiayai isteri yang tidak bekerja serta rumah sewa yang perlu dibayar di samping membiayai anak yang bersekolah dan lain-lain lagi. Inilah kehidupan sebenar. Mereka ini mungkin termasuk di dalam kelompok miskin bandar. Berbanding mereka yang mempunyai pendapatan yang sama tetapi tinggal di kawasan  kampung, pendapatan ini cukup besar dan mewah.

Sehubungan dengan itu, penetapan had kifayah perlu disemak dan ditambah baik demi memastikan mereka yang miskin bandar turut dibantu. Had kifayah ini pula bukan sahaja berpaksikan kepada pendapatan isirumah semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perbelanjaan sebenar isi rumah. Ini adalah kerana pengiraan had kifayah berdasarkan perbelanjaan sebenar isi rumah adalah lebih signifikan dan berkolerasi tinggi dengan kemiskinan bandar.

Wednesday, October 30, 2013

Adakah permainan kutu ini dibolehkan dalam Islam (sinar harian 25 oktober)

Adakah permainan kutu ini dibolehkan dalam Islam? Minta penjelasan.

Permainan kutu seringkali dikaitkan dengan masyarakat di kampung-kampung berbanding di bandar. Namun perubahan masa yang semakin mencabar kehidupan menyebabkan permainan kutu kini mula menular ke masyarakat bandar. Ini kerana kos sara hidup dibandar yang begitu tinggi memerlukan masyarakat bandar bijak mengurus kewangan mereka agar tidak dihimpit arus kemiskinan bandar. Kebiasaanya permainan kutu ini di berlaku kampung kerana masyarakat kampung merancang perancangan kewangan mereka bagi membeli barangan mahal seperti emas, membeli perabot rumah dan sebagainya. Namun di bandar permainan kutu ini dijalankan bagi meringankan beban seseorang melalui simpanan sukarela melalui skim kutu ini.

Permainan kutu bolehlah didefinisikan sebagai simpanan sukarela secara bersama dan berkala pada kadar yang sama bagi setiap anggota yang terlibat dengan skim kutu ini berdasarkan konsep taa’wun (membantu) dan pinjaman ikhlas di mana wang simpanan ini akan diperolehi oleh setiap ahli yang terlibat dengan kontrak permainan kutu ini mengikut tarikh yang telah dipersetujui secara kolektif di antara ahli dan bayaran yang diterima oleh setiap ahli adalah mengikut giliran serta jumlahnya adalah sama.

Sebagai contoh sepuluh orang penduduk Taman Dinar menyumbang dana kewangan masing dengan kadar RM200 pada setiap bulan selama 10 bulan berturut-turut. Ini membawa maksud  setiap bulan jumlah wang yang terkumpul ialah RM2000. Sepuluh orang  penduduk tadi akan melakukan perbincangan secara adil dan ikhlas untuk menentukan siapa yang berhak menerima duit kutu paling awal dan siapakah yang terakhir akan menerima duit kutu yang telah dikumpulkan itu. Dalam erti kata lain 10 orang penduduk tadi akan menerima wang mengikut sistem giliran yang telah dipersetujui dikalangan mereka (10 orang tadi) berdasarkan konsep taa'wun.

 Ini amat bertepatan dengan firman Allah SWT  yang bermaksud:

“Bertolong-tolonglah kamu pada perkara –perkara kebaikan (kebajikan) dan taqwa dan jangan kamu bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan boleh menimbulkan permusuhan”
                                                                                                Surah al-Maidah: ayat 2

Di dalam Islam setiap urusan muamalat yang berlaku mestilah berdasarkan Syariah iaitu berlandaskan al-Quran, Sunah, ijmak dan qias. Maka jika dilihat secara umum melalui proses pembentukan dan operasi permainan kutu ini maka ia dikatakan harus selagi mana ia tidak melibatkan riba.  

 Firman Allah SWT  di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“....Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba....” (surah Al-Baqarah:275)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud yang bermaksud:

“Rasulullah SAW melaknat orang yang makan riba, orang memberi riba, saksinya dan penulisnya”

Selain itu ia juga dikatakan harus berdasarkan :

‘kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak’ (mawahibul jalil, Al-hattab, 4/395) –sila lihat zaharuddin.net

                                                      
Kenapakah ia dibolehkan?

Harus di sini berdasarkan bukti bahawa:
i.              Jumlah yang disumbangkan/disimpan oleh setiap ahli adalah sama
ii.             Jumlah yang akan diterima adalah sama di kalangan ahli
iii.            Wujudnya sistem penerimaan jumlah wang yang disumbangkan secara giliran serta adil dan disepekati di kalangan ahli
iv.           Tidak wujud unsur-unsur riba iaitu tidak terdapat seorangpun yang membayar lebih daripada ahli lain
v.            Tiada unsur gharar ataupun ketidakpastian iaitu tarikh ataupun masa penerimaan jumlah wang yang disimpan oleh ahli akan diberikan kepada ahli mengikut masa dan tarikh yang telah dipersetujui melalui musyawarah (persetujuan bersama mengikut sistem giliran)

Apakah jenis permainan kutu yang  boleh dan tidak dibolehkan dalam Islam?

Jenis Permainan kutu yang dibolehkan ialah permainan kutu yang tidak melibatkan unsur penindasan (riba) dan juga meragukan (gharar) dalam semasa pelaksanaan permainan ini. Selain itu ia mestilah memenuhi tntutan Syariah.

Jenis permainan kutu yang tidak boleh ialah permainan kutu yang melibatkan unsur penindasan (riba) di kalangan ahli dan juga mempunyai unsur meragukan (gharar) dalam semasa pelaksanaan permainan ini seperti penentuan giliran penerimaan wang kutu bagi setiap ahli yang tidak jelas, kaedah bayaran dan kutipan yang tidak jelas, masa pembayaran yang tidak jelas, serta permainan kutu ini tidak langsung memenuhi tuntutan Syariah

 Pekerja office saya ada membuat "main kutu". satu kepala atau seorang RM100 seramai 11 orang jadinya setiap orang akan dapat 1100 (100 duit sendiri) tiap bulan. Yang jadi masalahnya tiap bulan cabutan akan dibuat, siapa dapat happy la.. Bolehkah jika saya katakan permainan kutu ini mempunyai unsur judi?

Asas hukum kepada permaiana kutu ini adalah harus selagi mana ia tidak melibatkan unsur riba dan gharar (ketidakpastian). Namun begitu bagi memastikan konsep keharusan ini mencerminkan Islam itu adil, maka pekerja yang menganjurkan kutu itu mestilah seorang yang mempunyai ciri-ciri amanah serta ahlinya juga mesti mempunyai ciri yang sama. Selain itu dalam permainan kutu ini juga mestilah mempunyai kontrak perjanjian di antara ahli bagi memastikan semua ahli berpuashati dengan operasi dan system giliran permainan ini agar masing-masing mendapat hak yang sama. Di samping itu, setiap ahli mestilah terikat dengan kontrak permainaa kutu ini antaranya membayar wang kutu mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Sekiranya semua yang dianyatakan diatas dipatuhi maka ia dianggap harus dan tidak berjudi kerana semuanya adalah jelas dan tidak meragukan serta dijamin melalui akad yang termenterai dikalangan ahli. Namun permainan kutu ini dianggap judi jika tarikh penerimaan wang kutu dikalangan ahli tidak ditetapkan semasa pelaksanaan permainan ini. 

 
Adakah fikir kalau dibuat cabutan nombor giliran yang dah tetap siapa yang dapat tiap bulan sebagai contah mamat bulan Jan, abu Feb, ali Mac dan seterusnya itu adalah harus.

Islam itu adil. Keadilan Islam ini meliputi semua segi termasuk muamalat. Maka jika cabutan nombor giliran penerimaan wang kutu di kalangan ahli ini dibuat secara musyawarah semasa akad termenterai di kalangan ahli maka ia menjadi harus.

Apakah cara terbaik untuk menyimpan duit kerana ramai yang bermain kutu dengan fokus untuk menyimpan wang dan membeli barangan yang dihajati.

Dunia yang penuh dengan liku-liku kehidupan memerlukan seseorang itu bijak dalam pengurusan kewangannya termasul dalam soal menyimpan duit. Menyimpan duit mestilah di sesuatu tempat yang menjamin keselamatan wang yang disimpan serta tidak terlibat dengan unsur riba dan risiko kehilangan wang adalah rendah. Antaranya menyimpan di institusi perbankan Islam melalui simpanan tetap wadiah, menyimpan wang dalam bentuk pelaburan seperti membeli jongkong emas daripada institusi berlesen dan sebagainya lagi. Melalui simpanan sebegini risiko kehilangan wang yang disimpan adalah rendah kerana ianya dijamin. Bayangkanlah jika seseorang yang bermain permainan kutu ini, kedapatan ada seorang ahli yang tidak membayar kepada ahli. Sudahpasti ahli lain akan mengalami kerugian seterusnya mewujudkan perbalahan dan pergaduhan sedangkan permainan kutu ini adalah atas dasar taawun iaitu tolong menolong. Maka sebaiknya simpanlah duit di tempat yang risiko kehilanganya adalah minimum dan dijamin keselamatanya.

Bagaimanakah pula cara Baginda dan sahabat menyimpan wang?

Rasulullah merupakan seorang yang hebat dan unggul dalam apa jua bidang yang baginda ceburi. Kehebatan dan keunggulan Rasulullah ini dapat di gambarkan melalui teori FAST iaitu F –fathanah iaitu bijaksana, A-amanah, S-siddiq iaitu benar dan T-tabliq iaitu menyampaikan.

Maka tidak hairanlah semasa kehidupan baginda dulu, transaksi simpanan wang hanya dibuat oleh mereka yang mempunyai harta dan simpanan dengan mereka yang mempunyai reputasi ciri amanah yang tinggi. Ini kerana institusi perbankan masih belum wujud. Maka sebelum baginda diutuskan menjadi Rasul, baginda amat terkenal dengan sifat amanah yang tinggi. Baginda akan menyimpan segala deposit yang dibuat oleh orang ramai sehinggalah pada saat terakhir sebelum baginda berpindah dari Mekah ke Madinah di mana baginda melantik Saidina Ali untuk memulangkan segala simpanan itu kepada tuan punya hak. Simpanan yang dibuat sebelum dan selepas kerasulan baginda adalah bertujuan keselamatan dan bukan mengaut keuntungan.

Begitu juga dengan seorang sahabat nabi yang bernama Az-Zubair al-awwam yang telah mentranformasikan konsep simpanan kepada bentuk pinjaman di mana Az-Zubair tidak lagi sanggup menerima wang daripada orang ramai dalam bentuk simpanan kerana bimbang kehilangan wang tersebut adalah menjadi tanggungjawabnya. Akhirnya konsep simpanan tadi telah ditukar kepada pinjaman yang akhirnya membolehkan Az-Zubair mempunyai hak untuk menggunakanya kerana peminjam bertanggungjawab memulang semula apa yang dipinjamkan. Begitu juga dengan anaknya yang bernama Abdulla Az-Zubair yang selalu mengambil wang daripada orang ramai di Mekah lalu di tulisnya pengesahan penerimaan wang tersebut sebagai bukti untuk dituntut oleh tuan punya milik nanti.